Followers

Sunday, March 30, 2008

Siapa kanak-kanak istimewa ini?

Kanak-kanak istimewa
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: navigasi, gelintar
Kanak-kanak istimewa adalah sebahagian daripada mereka yang tergolong dalam kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU), iaitu seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuhnya, atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu, dan tidak dapat hidup bermasyarakat sama ada dari segi fizikal, atau mental, dan berlaku sama ada sejak dilahirkan, ataupun sesudah itu.
Kategori orang kurang upaya
Terdapat enam kategori orang kurang upaya yang turut melibatkan kanak-kanak, iaitu:

Kurang Upaya Pendengaran - termasuk pekak dan bisu.

Kurang Upaya Penglihatan - termasuk rabun, buta.
Kurang Upaya Fizikal - iaitu kecacatan anggota badan misalnya penyakit polio, kudung, distrofi otot, dan sebagainya.
Celebral Palsy - meliputi hemiplegia(sebelah badan), diplegia(kedua belah kaki), dan kuadriplegia(kedua-dua belah tangan dan kaki)
Masalah Pembelajaran - lewat perkembangan bagi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun;
Sindrom Down, autisme, ADHD, terencat akal(berusia lebih tiga tahun), dan masalah lain seperti disleksia, disgrafia, diskakulia, dan lain-lain.
Lain-lain menurut diagnosis perubatan yang merangkumi semua masalah kurang upaya.
Kanak-kanak ini memerlukan rawatan, bimbingan, bantuan, dan perhatian khusus daripada orang di sekeliling mereka. Janganlah kita menyisihkan mereka. Bantulah sedaya upaya kita kerana mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri
Ketidakupayaan Pembelajaran
Kanak-kanak istimewa sering dikaitkan dengan ketakupayaan pembelajaran. Sebenarnya, ketakupayaan pembelajaran bukanlah bermaksud bodoh, lembab, malas, atau tahap kecerdasan yang rendah. Dan ini juga bukanlah berlaku akibat daripada perbezaan budaya, status sosial, kekangan ekonomi, dan pengaruh persekitaran. Ketakupayaan pembelajaran bermaksud masalah khusus di dalam otak kanak-kanak ini, yang menjejaskan cara seseorang itu memproses dan bertindak balas terhadap sesuatu maklumat. Terdapat beberapa bentuk ketakupayaan pembelajaran iaitu;

Disleksia - ini adalah ketakupayaan pembelajaran yang menjadikan kanak-kanak itu sukar membaca, menulis, dan mengeja dalam cara yang biasa.
ADHD(Attention Deficit and Hyperactivity Disorder) - ini adalah satu gangguan yang menjejaskan keupayaan otak untuk menumpukan atau memfokus kepada sesuatu benda. Misalnya, seseorang kanak-kanak itu mungkin normal, cerdas, dan bijak tetapi dia tidak dapat menumpukan perhatiannya dan mengawal tingkah lakunya sendiri.
Dispraksia - ini satu ketakupayaan pembelajaran yang melibatkan masalah dengan gerakan anggota tubuh.
Diskalkulia - satu jenis ketakupayaan pembelajaran yang melibatkan matematik, apabila kanak-kanak itu mengalami masalah dalam pengiraan dan hitungan. Walau berkali-kali diajar dengan cara yang paling mudah, namun di tetap sukar memahaminya.
Autisme - ini pula merujuk kepada ketakupayaan kanak-kanak mengalami dunia persekitarannya, sebagaimana yang dialami oleh rakan-rakannya yang normal. Mereka sukar bercakap dan berbual-bual, sebaliknya mendiamkan diri serta memerlukan bantuan untuk berkomunikasi. Mereka juga bertindak balas dalam cara yang berbeza. Bunyi yang indah mungkin membingitkan telinga mereka. Sentuhan dan belaian yang manja mungkin menjadi sesuatu yang tidak disenangi. Mereka juga tidak dapat mengaitkan sesuatu perkataan dengan maksudnya. Jadi, mereka mungkin mengulang-ulang perkataan-perkataan tertentu, panas baran, dan bertindak balas secara luar biasa.

No comments: