Followers

Friday, July 22, 2011

Kembara Pendidikan Khas 2011

Program Kembara Pendidikan Khas SMK Machang Bubuk telah berlangsung pada 21 Julai yang lalu. Program ini dijalankan di Kampung Pinang, Pedu, Kedah Darul Aman.




Objektif utama program ini ialah:




-Mendedahkan pelajar dengan asas perkhemahan di dalam hutan



-Membolehkan mereka merasai pengalaman hidup di dalam hutan dari segi pengurusan diri, makanan dan aktiviti yang dijalani



-Mengalakkan sikap bekerjasama, tolak ansur dan berdisiplin



Rombongan bertolak dari sekolah pada pukul 8.00 pagi dengan dilepaskan oleh Tuan Pengetua , Puan Norlelawati bt Abdul Aziz. Kami singgah di perhentian RnR Gurun untuk bersarapan pagi dengan makanan yang telah dibawa dan dibungkus untuk semua peserta rombongan. Kami tiba di lokasi yang dituju kira-kira dalam pukul 11 pagi



Ketibaan kami disambut oleh keluarga yang menguruskan hal makan dan minum kami di sini. Setelah selesai murid -murid meletakkan barang-barang mereka, satu taklimat ringkas diadakan untuk pembahagian kumpulan dan guru yang bertanggungjawab bagi setiap kumpulan. Terdapat 4 kumpulan pelajar dan aktiviti dijalankan dalam berkumpulan.



Aktiviti pertama ialah memasang khemah seperti yang ditunjukkan guru sehari sebelum program ini berlangsung. Ternyata pelajar-pelajar dapat menyiapkan khemah dalam masa yang ditetapkan dan menunjukkan kerjasama yang jitu dalam menyiapkan khemah bagi kumpulan masing-masing



Aktiviti seterusnya makan tengahari yang menunya terdiri dari masakan kampung. Masakan kampung ternyata amat asing bagi kebanyakan murid -murid PPKI SMK Machang Bubuk terutamanya yang berbangsa cina. Antara menu yang ada ialah masak lemak ikan kering dengan terung, sayur rebung, ikan talapia bakar, ikan pekasam, sayur-sayur dan ulam-ulaman.



Walaupun murid-murid pada mulanya agak kekok untuk makan masakan kampung ini, namun setelah dipujuk dan digalakkan oleh guru , mereka akhirnya menikmati juga masakan tersebut. Di sini sebenarnya pelajar ditekankan dengan sikap tidak terlalu memilih pasal makanan atau keluar dari keselesaan atau kebiasaan.



Setelah berehat selepas menikmati makan tengahari, aktiviti diteruskan dengan kembara di kawasan sekeliling yang dipenuhi pelbagai tumbuhan hutan yang tumbuh meliar. Murid-murid diperjelaskan dengan kepentingan menjaga keindahan alam sambil diperkenalkan dengan pelbagai tanaman yang jarang atau tidak pernah mereka lihat.



Pelajar juga diberi peluang untuk berjalan di atas jambatan gantung yang agak mencabar. Ini bertujuan untuk mendedahkan kepada mereka bahawa kehidupan yang mereka ada nyata jauh lebih selesa dari penduduk kampung di sini, di samping itu membentuk sikap betapa pentingnya menjaga keselamatan serta memupuk keyakinan mengatasi apa jua cabaran dan pada masa yang sama mengatasi rasa takut yang ada dalam diri. Pelajar turut diberi peluang untuk merasai berada dalam sungai namun tidak terlalu lama disebabkan air sungai amat deras dan aktiviti ini dipantau sangat teliti oleh guru-guru pendidikan khas yang menyertai program ini.



Selepas itu pertandingan membuat buku skrap yang berkaitan dengan tumbuhan yang ada di sekeliling kawasan diadakan. Setiap kumpulan dikehendaki mengumpul daun-daun pokok seperti yang dikehendaki dan mengumpulnya di dalam buku skrap. Aktiviti ini ternyata dapat membentuk sikap kerjasama di kalangan ahli kumpulan selain sikap mematuhi arahan yang dikeluarkan guru.



Semua peserta aktiviti dijamu dengan pulut durian , buah-buahan seperti rambutan, pisang, duku dan langsat sebagai minum petang. Seterusnya khemah di kemas oleh semua murid menandakan aktiviti sudah mencapai kemuncaknya.



Setelah khemah dikemaskan , upacara penutup diadakan serba ringkas. Upacara penyampaian hadiah diberikan kepada kumpulan yang menunjukkan kerjasama yang paling jitu , kumpulan yang menjaga khemah dengan baik dan bersih, kumpulan yang dapat menyediakan buku skrap paling cantik dan khemas, dan kumpulan yang paling patuh dengan arahan guru. Selepas itu semua peserta bergambar kenang-kenangan sempena program ini.



Kami bertolak pulang dalam pukul 4.45 petang. Dalam perjalanan pulang , kami singgah di masjid untuk semua yang beragama Islam menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak. Kami tiba di SMK Machang Bubuk pada pukul 7.30 malam. Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar dan hampir semua objektif yang disasarkan telah tercapai. Diharapkan program ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun berikutnya kerana ternyata program ini memberi banyak kebaikan tersurat dan tersirat terutamanya kepada semua pelajar PPKI yang terlibat. Movie maker dibawah ini menunjukkan aktiviti -aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini






No comments: